mutakhir

Hilang ketika cari bantuan

Oleh Mohd Roji Kawi

MISTERI menyelubungi kehilangan seorang lelaki selepas dia cuba mendapatkan bantuan apabila kenderaan dinaiki bersama rakannya mengalami kemalangan di kawasan ladang Marong Estate 2, Block Jambatan Besi, Belaga, 7 Julai lalu.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, Samat Basa, 36, dikatakan keluar dari kawasan kemalangan itu manakala rakannya menunggu di kenderaan.

Bagaimanapun, pekerja ladang kelapa sawit itu tidak kembali ke kenderaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, selepas dua hari, mangsa gagal dikesan menyebabkan rakan dan pengurus ladang membuat laporan di Balai Polis Belaga, kelmarin.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan daripada anggota polis memaklumkan kejadian itu pada jam 6.44 petang kelmarin.

Berikutan lokasi kejadian agak jauh, empat anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu ke lokasi kejadian pada jam 7.30 pagi semalam.

"Perjalanan dari Bintulu ke Belaga memakan masa kira-kira lima jam dan dari Balai Polis Belaga ke lokasi kejadian pula memerlukan masa selama tujuh jam lagi.

"Sehingga kini, status operasi tidak dapat dikemaskini kerana anggota yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) tidak dapat dihubungi" katanya.

Katanya, difahamkan mangsa dan rakannya tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan pada 7 Julai lalu itu.

Disiarkan pada: July 11, 2020 @ 12:46pm
d