mutakhir

Perkasakan TDM, lebih berdaya saing [METROTV]

Oleh Mohd Khidir Zakaria

PANGLIMA Tentera Darat (PTD) yang baru, Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain menyampaikan perintah ulung selepas dilantik menjadi PTD yang ke-28 di padang kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, hari ini.

Beliau mengambil alih jawatan daripada mantan PTD ke-27, Jeneral Tan Sri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi yang bersara wajib pada 11 Jun lalu.

Perbarisan statik terdiri daripada 257 pegawai dan 711 anggota lain-lain pangkat diketuai Komandan Akademi Tentera Darat, Brigedier Jeneral Khairul Anuar Abul Aziz.

Sesuai dengan norma baru serta pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 yang ditetapkan, perbarisan kali ini dilakukan secara statik dengan penjarakan anggota yang berbaris lebih jauh daripada biasa.

Zamrose berkata, seluruh warga Tentera Darat Malaysia (TDM) harus mempraktikkan tiga prinsip dan lima tonggak yang disarankannya.

"Tiga prinsip itu iaitu laksanakan apa yang harus dilakukan, lakukan apa yang dikatakan akan dilaksanakan dan laksanakan perkara yang betul.

"Manakala lima tonggak itu, 'Kelangsungan Misi dan Kesiagaan', 'Memperkasakan Keutuhan Organisasi', 'Pelestarian Kesejahteraan Warga', 'Pengukuhan Perhubungan Pertahanan' dan 'Peningkatan Hubungan TDM Dengan Awam'," katanya dalam ucapan Perintah Ulung PTD, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah; Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman; Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakaria Yadi dan Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Nazari Abd Hadi.

Zamrose berkata, beliau yakin Tentera Darat akan lebih dihormati seluruh rakyat Malaysia dan antarabangsa dengan mengukuhkan tiga prinsip serta lima tonggak yang menjadi tumpuannya dengan bantuan kerajaan dan sokongan Kementerian Pertahanan.

"Saya mahu semua warga TDM berganding bahu bersama-sama saya dan mempunyai jati mengembleng tenaga menjayakan misi memperkasakan TDM agar lebih berdaya saing dalam segala segi.

"Sebaik dilantik, saya mengkaji semua Perintah Ulung PTD terdahulu dan ini sebagai kesinambungan dan penambahbaikan mengikut peredaran hal semasa yang lebih mencabar selari dengan kemajuan dicapai negara," katanya.

Beliau berkata, TDM juga akan memperkasakan kehidupan warga tentera dan keluarga termasuk soal pendidikan anak-anak mereka.

"Inilah tonggak yang ketiga iaitu, Pelestarian Kesejahteraan Warga yang tertumpu kepada peningkatan kualiti hidup, kemudahan rumah keluarga dan juga pendidikan anak-anak terutama bagi anggota yang tinggal dan bekerja di kawasan pedalaman.

"Untuk mencapai tonggak ini, setiap pemimpin di setiap organisasi harus memberi komitmen terhadap kesejahteraan anggota, keluarga mereka dan komuniti serta memberi penekanan terhadap aspek kesihatan dan rohani," katanya.

Disiarkan pada: July 11, 2020 @ 1:07pm
d