mutakhir

Polis kenal pasti dalang

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS sudah mengenalpasti dalang yang membuat hantaran berbaur hasutan yang dikaitkan dengan bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan polis mendapati hantaran berbaur fitnah berkenaan didapati berpunca daripada poster dibuat oleh portal muafakatnasional.net.

"Siasatan mendedahkan hantaran yang menjadi fakta isu dalam kes ini adalah daripada poster yang dibuat oleh muafakatnasional.net dan bukan daripada Twitter atau Facebook Hannah Yeoh.

"Keterangan suspek sudah dirakam dan kita turut merampas gajet yang dipercayai digunakan memuat naik posting berkenaan," katanya ketika ditemui di Bukit Aman, semalam.

Beliau berkata, kertas siasatan yang lengkap akan dihantar ke Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.

Pada 23 Jun lalu, Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut dipanggil Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman untuk dirakam keterangan berhubung posting itu.

Hannah bagaimanapun menafikan mengeluarkan kenyataan berkaitan berbaur hasutan kononnya mempersoalkan status Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur itu.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Disiarkan pada: July 11, 2020 @ 1:34pm
d