mutakhir

Warga emas maut jatuh dari apartmen

Oleh Norsyazwani Nasri

SEORANG lelaki warga emas maut terjatuh dari tingkat tiga apartment Country Hill, Batu Kawa di Kuching, awal pagi ini.

Kejadian itu disedari cucunya apabila mendapati warga emas berusia 86 tahun itu tiada di rumah ketika pulang kira-kira jam 2 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Lim Jaw Shyong berkata, ketika cucu yang berusia 29 tahun itu mencari datuknya dan terlihat objek mencurigakan dalam longkang dari beranda rumah aparmentnya

"Selepas diperiksa, lelaki berkenaan mendapati datuknya berada di dalam longkang dalam kedudukan duduk sebelum memaklumkan kepada ahli keluarga yang turut tinggal di aparment itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, keluarga mangsa kemudiannya menghubungi polis sebelum beberapa anggota tiba pada jam 3 pagi bersama pegawai perubatan dari Hospital Umum Sarawak (HUS).

"Pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan mayat dihantar ke HUS untuk bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa mendapati ada kesan lebam di kaki kanan.

"Pemeriksaan dalam rumah juga tidak terdapat kesan-kesan pecah atau unsur yang boleh dikaitkan dengan jenayah," katanya.

Katanya, mangsa mempunyai sejarah penyakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan penyakit asma serta membuat saringan Covid-19 sebanyak lima kali dan semua keputusannya adalah negatif.

"Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya.

Disiarkan pada: July 11, 2020 @ 3:06pm
d