mutakhir

Masih aktif kelentong orang ramai guna nama LHDN

Oleh Mohd Jamilul Anbia M Denin

PUTRAJAYA: Selepas tindakan menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) kian 'basi', sindiket dikesan menggunakan modus operandi baru dengan mengedarkan surat palsu menggunakan nama dan logo LHDN.

Bahagian Komunikasi LHDM berkata, pihaknya mengesan sindiket penipuan yang bergerak aktif dengan mengarahkan mangsa membuat bayaran tertunggak Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) melalui surat palsu dihantar menggunakan nama dan logo LHDNM.

Menurutnya, taktik itu jelas bertujuan bagi memperdayakan orang ramai terutama golongan peniaga.

"Surat palsu itu dikesan mengandungi butiran peribadi mangsa termasuk maklumat perbankan dan amaun cukai tertunggak yang perlu dibayar serta turut dilengkapi dengan tandatangan palsu pegawai LHDNM.

"Mangsa bagaimanapun boleh mengenalpasti surat palsu ini dengan mudah kerana perihal SST adalah dikendalikan oleh agensi lain dan bukannya di bawah kendalian LHDNM," katanya.

Susulan itu LHDN memandang serius perkara itu dan orang ramai dinasihati berhati-hati dengan setiap panggilan, e-mel mahupun surat yang meragukan, dengan mendapatkan pengesahan LHDN terlebih dahulu.

"Sebarang bayaran cukai juga hendaklah dibuat terus ke akaun LHDN dan bukannya melalui akaun peribadi individu mahupun pihak ketiga," katanya.

Orang ramai yang mahukan maklumat lanjut dengan melayari portal rasmi LHDN menerusi www.hasil.gov.my, manakala sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara itu boleh diajukan kepada LHDN melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-89111100 (Luar Negara); HASiL Live Chat; borang maklum balas di portal rasmi LHDN; atau Facebook serta Twitter rasmi LHDN.

Disiarkan pada: July 11, 2020 @ 3:25pm
d