mutakhir

MAQIS rampas 600 kg benih kacang

Oleh Rosyahaida Abdullah

CUBAAN membawa masuk 600 kilogram (kg) benih kacang bernilai RM21,457.10 ke negara ini tanpa permit lengkap digagalkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, Pengarah MAQIS Selangor, Dr Tarmisal Alimin berkata, hasil pemeriksaan rutin pihaknya di Pelabuhan Klang Utara membawa kepada penemuan kontena mengandungi biji benih kacang terbabit yang dibawa dari Taiwan.

Jelas beliau, tindakan membawa masuk barangan itu didapati tidak menepati syarat sebagai mana dinyatakan dalam permit import MAQIS.

"Adalah menjadikan keperluan untuk menyatakan nombor permit yang sah pada sijil fitosanitasi bagi keluaran pertanian yang diimport dari luar ke Malaysia.

"Ini bertujuan memastikan setiap keluaran pertanian yang dibawa masuk menjalani suatu rawatan seperti mana ditetapkan.

"Kegagalan mengemukakan maklumat terbabit menjadi kesalahan mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang mana jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya," katanya.

Dr Tarmisal berkata, MAQIS sentiasa memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanah dan mikro-organisma yang masuk ke Malaysia bebas daripada ancaman perosak, penyakit, bahan cemar dan tidak menjejaskan sektor pertanian negara.

Disiarkan pada: July 11, 2020 @ 3:34pm
d