mutakhir

Kepala berdarah di Bukit Panau

Oleh Siti Rohana Idris

SEORANG remaja cedera selepas terjatuh ketika berlumba dengan rakannya menuruni Bukit Panau dekat Tanah Merah sehingga terpaksa diusung turun oleh pasukan bomba pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.40 pagi itu, remaja lelaki berusia 14 tahun itu dipercayai berlumba bersama rakan ketika menuruni bukit yang berturap.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanah Merah, Penolong Penguasa Bomba Mohd Rafain Mat Zain berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.50 pagi dan seramai lima anggota bergegas ke lokasi.

"Mangsa yang berasal dari Wakaf Bharu cedera di kepala, dada dan kaki akibat terjatuh selepas dipercayai berlumba bersama rakan ketika menuruni bukit.

"Mangsa mengalami kesukaran untuk berjalan dan anggota kami menggunakan pengusung untuk membawanya turun kira-kira 200 meter ke kaki bukit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, operasi menyelamat turut dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta orang awam dan mangsa dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk rawatan lanjut.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati semasa beriadah mendaki bukit dan menitikberatkan aspek keselamatan.

"Paling penting jangan berlumba, sama ada untuk tiba di puncak atau turun ke kaki bukit serta bergurau senda yang melampau sepanjang pendakian kerana perbuatan itu berisiko," katanya.

Disiarkan pada: July 11, 2020 @ 3:35pm
d