mutakhir

Buru tiga lelaki curi motosikal juruwang stesen minyak

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

POLIS memburu tiga lelaki yang mencuri motosikal Yamaha RXZ warna merah milik juruwang stesen minyak di Jalan Su 38 Taman Selayang Utama di Gombak minggu lalu sehingga tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pada mulanya lelaki berusia 33 tahun yang bekerja di stesen minyak itu meletakkan motosikalnya di hadapan premis berkenaan jam 11 malam, 3 Julai lalu.

Menurutnya, bagaimanapun pada jam 7 pagi keesokan harinya mangsa mendapati tiga lelaki menaiki motosikal Yamaha 135LC mencuri motosikal mangsa menyebabkan dia mengalami kerugian RM5,000.

"Siasatan awal mendapati, ketika kejadian pintu bahagian luar stesen minyak itu diletakkan kayu oleh suspek supaya mangsa tidak dapat keluar.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes Sarjan Ahmad Syazani Ab Aziz di talian 03-61262222 atau 014-5004640 bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Disiarkan pada: July 11, 2020 @ 3:46pm
d