mutakhir

Tak sempat kemas, pejabat dikunci - Haniza

Oleh Mohamed Farid Noh

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya Haniza Mohamed Talha kesal dengan tindakan kerajaan negeri mengunci pintu pejabatnya pagi hari ini.

Haniza mendakwa tindakan yang dilakukan itu adalah tidak adil apatah lagi tanpa memberi peluang kepadanya membawa keluar barang peribadinya.

Menurutnya, perkara itu dimaklumkan pegawai peribadinya pada 10 pagi ketika beliau dalam perjalanan ke Johor Bahru.

"Semalam, saya terima surat (pemecatan), hari ini pegawai saya cuba kosongkan pejabat, namun gagal kerana ia sudah dikunci.

"Mungkin nak kena minta kebenaran khas untuk kosongkan pejabat dengan bawa keluar barangan peribadi, " katanya ketika sidang media selepas merasmikan Jelajah Nation Of Women Zon Selatan di Johor Bahru hari ini.

Semalam, Kerajaan Selangor dilaporkan membuat keputusan melucutkan jawatan yang disandang Haniza sebagai Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar negeri berkuat kuasa hari ini.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang diadakan pada Rabu lalu.

Terdahulu pada 29 Jun lalu, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dalam mesyuarat bulanannya bersetuju dengan syor Lembaga Disiplin untuk melucutkan keanggotaan lima ahlinya termasuk Haniza.

Sementara itu, Haniza berkata, beliau akan menjadi ADUN Bebas dan akan terus memberi tumpuan berkhidmat kepada pengundi di kawasan Lembah Jaya.

Ditanya mengenai kemenangannya memenangi wang RM1 juta menerusi Cabutan Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) diumumkan 4 Julai lalu, Haniza berkata, kemenangannya itu seolah tonik yang membangkitkan semangatnya selepas dipecat sebagai Exco Selangor hari ini.

"Saya tidak menjangkakan menang cabutan istimewa itu dan anggap ia sebagai rezeki dipecat. Mungkin tips kena pecat baru dapat RM1 juta.

"Saya tak sempat fikir apa nak dilakukan dengan wang berkenaan kerana banyak perkara berlaku dalam satu perkara, " katanya.

Cabutan SSP Bank Simpanan BSN bagi Jun 2020 menyaksikan Haniza Mohamed Talha menjadi pemenang hadiah istimewa dengan menerima ganjaran wang tunai RM1 juta.

Disiarkan pada: July 11, 2020 @ 4:52pm
d