mutakhir

Dilanggar lori hingga `melekat' pada tiang lampu

Oleh Norzamira Che Noh

DIREMPUH lori hingga menyebabkan kereta dipandu 'melekat' pada tiang lampu isyarat.

Itu nasib menimpa seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun sejurus kereta model Datsun 120Y dilanggar sebuah lori di Jalan Persiaran Mahkota, Banting, Selangor tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.19 petang sebelum sepasukan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) bergegas ke lokasi kejadian.

"Dalam kejadian itu, kereta dipandu mangsa dilanggar sebuah lori sehingga menyebabkan mangsa tersepit di bahagian hadapan pemandu berhampiran tiang lampu.

"Mangsa, T Subramaniam yang tersepit serta mengalami kecederaan parah kemudian berjaya dikeluarkan pihak bomba. Dia bagaimanapun disahkan meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, BBP Banting menyelamatkan dua lelaki yang terperangkap di atas jentera 'skylift' ketika melakukan kerja pemotongan pokok di Jalan Tembaga, Banting, Selangor.

"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 12.19 tengah hari. Kami dimaklumkan dua mangsa iaitu lelaki berusia 40 dan 59 tahun tidak dapat turun selepas selesai melakukan kerja pemotongan dipercayai berikutan jentera `skylift' itu mengalami kerosakan.

"Mangsa kemudian berjaya diturunkan oleh pihak bomba dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Disiarkan pada: July 11, 2020 @ 5:19pm
d