mutakhir

Lukisan hargai jasa Dr Noor Hisham

Oleh Redzuan Muharam

DEMI menghargai kesungguhan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Asyreeq Haziq Rohaizad yang juga pelukis sambilan menghabiskan masa selama lima hari untuk menyiapkan lukisan istimewa buat seorang daripada tiga doktor terbaik di dunia itu.

Asyreeq, 23, yang juga anak kedua daripada empat beradik berkata, lukisan bermotifkan bandar raya Kuala Lumpur itu didedikasikan khas untuk Dr Noor Hisham yang bekerja keras dalam mengetuai petugas kesihatan ketika negara diancam Covid-19.

Menurut Asyreeq, bandar raya Kuala Lumpur dipilih sebagai subjek utama kerana ia adalah simbolik kepada Malaysia.

"Saya tidak pandai melukis potret, hanya tahu melukis bangunan dan kerana itu, saya pilih bandar raya Kuala Lumpur sebagai subjek utama.

"Kebiasaannya, saya ambil masa tujuh hari hingga dua minggu untuk menghasilkan sesuatu lukisan, tetapi kali ini ia siap dalam lima hari saja.

"Saya memperuntukkan lapan hingga 10 jam untuk menyiapkannya. Cabaran utama adalah melukis dua mercu tanda iaitu Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar Petronas (KLCC) kerana perlu benar-benar teliti.

"Jika silap, bahagian itu yang paling ketara dan orang akan lihat dulu," katanya.

Asyreeq yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan berkata, sejak memuat naik ciapan gambarnya bersama lukisan itu kelmarin, banyak maklum balas diterima daripada netizen, malah Dr Noor Hisham turut meninggalkan komen memuji hasil kerjanya.

Namun, Asyreeq belum berkesempatan bertemu Dr Noor Hisham untuk menyerahkan lukisan itu.

"Saya ada minta bantuan netizen untuk mengulang ciap ciapan saya supaya mendapat perhatian daripada Dr Noor Hisham.

"Alhamdulillah, beliau nampak ciapan itu dan bukan hanya mengulang ciap, tetapi sempat meninggalkan komen positif. Diharap, ada peluang untuk saya bertemu dengannya dan menyerahkan lukisan ini," katanya yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor Bahru, Johor.

Disiarkan pada: July 12, 2020 @ 7:00am
d