mutakhir

Samseng jalanan pandu lawan arus elak ditahan polis

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

BAGI meloloskan diri daripada sekatan jalan raya, lima penunggang motosikal memandu melawan arus di Jalan Pandan 1 menghala ke Ampang, di Ampang Jaya, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, lima pembonceng motosikal terbabit melakukan aksi berani mati itu dipercayai bagi mengelak dua sekatan jalan raya di Jalan Pandan Jaya susur ke Ampang dan Jalan Pandan Jaya ke Shamelin.

Pemerhatian wartawan juga mendapati, dua daripada penunggang berkenaan membawa pembonceng wanita serta sengaja berbuat bising seolah-olah mahu melakukan provokasi serta mencabar pihak berkuasa yang melakukan sekatan jalan raya di laluan bertentangan.

Itu antara situasi yang berlaku di sekatan jalan raya Operasi Mabuk dan Samseng Jalanan di Jalan Pandan 1, di Ampang Jaya yang bermula jam 11 malam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari'at berkata, pihaknya melakukan sekatan jalan raya di seluruh negeri pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula antara jam 7 petang hingga 4 pagi sejak awal Julai lalu.

"Kelmarin, sebanyak 2,681 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan selain sembilan tangkapan membabitkan pemandu mabuk serta samseng jalanan di seluruh negeri.

"Bagi operasi malam ini, sebanyak 863 saman dikeluarkan kebanyakannya membabitkan kesalahan tiada lesen memandu serta nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi. Kita sita lima motosikal (seluruh Selangor).

"Daripada jumlah itu, dalam operasi di Ampang Jaya sahaja sebanyak 141 saman dikeluarkan, dua motosikal disita serta tiga individu mabuk ditahan dalam empat sekatan jalan raya dilakukan di sekitar daerahsehingga jam 12 tengah malam tadi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengetuai Operasi Mabuk dan Samseng Jalanan di Jalan Pandan Jaya menghala ke Ampang, awal pagi tadi.

Azman berkata, hasil operasi yang dilakukan pihaknya pada setiap hujung minggu sejak awal Julai lalu menunjukkan aktiviti samseng jalanan makin berkurangan.

"Melalui pemerhatian kami, kegiatan samseng jalanan dilihat berkurangan selepas pihak polis menjalankan sekatan jalan raya pada setiap hujung minggu.

"Pada masa sama, pihak polis menerusi pasukan Skuad 42 juga melakukan risikan dan pemantauan di lokasi panas yang kerap dijadikan sebagai litar lumba haram oleh samseng jalanan," katanya.

Disiarkan pada: July 12, 2020 @ 1:47pm
d