mutakhir

Penggiliran anggota ATM di sempadan sentiasa dilaksanakan - PAT

Oleh BERNAMA

PANGLIMA Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata penggiliran penugasan anggota pasukan ATM dalam kawalan operasi persempadanan di seluruh negara, sentiasa dilaksanakan.

Beliau berkata, penggiliran ini penting untuk mengelakkan anggota ATM daripada terjebak dengan sebarang kegiatan jenayah, penyeludupan atau bersekongkol dengan tekong.

"Atur gerak anggota di kawasan sempadan penting bagi memastikan operasi kawalan persempadanan yang kini dilaksanakan secara bersepadu dengan pelbagai agensi penguatkuasaan dan keselamatan lain menerusi Op Benteng mencapai objektif disasarkan," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur, hari ini.

Op Benteng diaktifkan sejak Mei 2020 di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia, PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia

Menurut Affendi, sebelum ini, operasi kawalan sempadan dilaksanakan secara 'service centric' oleh setiap agensi, namun aspek pemantauan setiap operasi kini dipertingkat dan diperkemaskan terutama membabitkan atur gerak anggota yang terbabit secara langsung di kawasan-kawasan yang dipertanggungjawabkan.

"Ini bagi mengelakkan pasukan atau anggota terbabit menjadi biasa dengan komuniti setempat di kawasan operasi, yang boleh menyebabkan mereka mungkin terleka atau terlalu selesa dan seterusnya mempengaruhi mereka bersekongkol dengan kegiatan menyalahi undang-undang negara," katanya.

Katanya, aspek pemantauan dalam setiap perkhidmatan ATM terutama membabitkan atur gerak anggota sentiasa ditekankan lebih-lebih lagi berkaitan penugasan kawalan operasi persempadanan.

"Bagaimanapun, dalam apa jua operasi yang dilaksanakan, ATM memandang serius dan tidak berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang bersekongkol dengan sebarang aktiviti penyeludupan mahupun kegiatan jenayah lain," tegas beliau sambil menambah ATM bertanggungjawab dalam memastikan kedaulatan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara.

Sebelum ini dilaporkan beberapa anggota tentera dan polis antara individu yang ditahan kerana disyaki menyalah guna kuasa dan terbabit dalam aktiviti penyeludupan pendatang tanpa izin di sempadan Johor dan Sarawak, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Zamri Yahya dilaporkan berkata, tempoh penugasan pegawai dan anggota penguat kuasa polis di kawasan sempadan negara, akan dilaksanakan tidak melebihi lima tahun untuk mengelak salah guna kuasa.

Disiarkan pada: July 12, 2020 @ 2:37pm
d