mutakhir

Terkenang helah komunis pasang bendera senget

Oleh Nazri Abu Bakar

KEJAYAAN memusnahkan jerangkap samar di depan Balai Polis Simpang Renggam, Johor pada 1970 menjadi pengalaman bermakna buat Kapten (B) Kor Gerak Khas (Komando) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) , Abdul Faruk Khan Alior Khan buat pasukan keselamatan negara.

Peristiwa berkenaan berjaya menyelamatkan anggota polis dan orang awam daripada menjadi mangsa jerangkap samar yang dipasang komunis ketika itu.

Abdul Faruk, 74, berkata sebelum itu komunis memasang bendera komunis Rusia di hadapan Balai Polis Simpang Renggam menggunakan kayu dipasang senget.

Katanya, pihaknya yang menerima aduan daripada polis dan arahan daripada pengurusan tentera ketika itu pantas melakukan pemeriksaan dan pembersihan pada keesokan harinya.

"Pemeriksaan mendapati dua jerangkap samar hidup dipasang dan tiga adalah 'dummy' bagi mengelirukan pihak keselamatan. Usaha pembersihan berjalan lancar dan selamat.

"Mujur tiada pihak membuat pemeriksaan lebih awal atau orang awam melalui lokasi kejadian berikutan komunis memasang bendera senget itu sebagai usaha menarik perhatian umum untuk berada di kawasan itu dan boleh menyebabkan kematian dan kecederaan serius," katanya yang tinggal di Sungai Udang, Melaka.

Menurutnya, sebaik mengesan bendera dipasang sempena Hari Komunis itu, polis membuat kawalan lebih satu kilometer di sekeliling balai terbabit bagi mengelak kejadian tidak diingini atau dimasuki orang ramai.

Katanya, pengalaman lain termasuk kejayaannya bersama pasukan Rejimen Askar Melayu Diraja Malaysia (RAMD) menangkap lima komunis di satu operasi di Lundu, Sarawak.

"Peristiwa pada 1968 itu antara pengalaman pertama sebaik tiga tahun menjadi anggota tentera dan ia sememangnya sukar dilupakan berikutan hampir meragut nyawa kami.

"Namun atas kecekapan semua, seorang komunis yang memegang suis bom di lokasi berkenaan berjaya dibunuh, jika tidak sudah pasti sukar digambarkan nasib anggota keselamatan ketika itu," katanya.

Abdul Faruk berkata, dia pernah menyertai latihan komando di Indonesia selama lapan bulan selain di Singapura selama enam bulan sepanjang kerjayanya.

Katanya, pengorbanan dan semangat juang tinggi dituntut ketika itu memandangkan komunis amat agresif dan ramai anggota tentera terkorban dan cedera termasuk terkena jerangkap samar.

Disiarkan pada: July 12, 2020 @ 2:45pm
d