mutakhir

91 sindiket dadah tumpas hanya dalam enam bulan - KPN

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SERAMAI 70,803 individu ditahan membabitkan pelbagai kesalahan dadah seperti membekal, memiliki dan positif ujian saringan air kencing sejak Januari hingga Jun lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas RM201 juta pelbagai jenis dadah bagi tempoh sama.

"Bagi mengelakkan Malaysia menjadi tapak pemprosesan dadah, sebanyak sembilan makmal dadah haram turut dibongkar setakat Jun lalu membabitkan penahanan 36 individu.

"Sepanjang tahun ini juga, polis menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sudah membuka 27,291 kertas siasatan dan daripada jumlah berkenaan sebanyak 21,929 atau 80 peratus sudah dituduh," katanya ketika ditemui Harian Metro di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur.

Abdul Hamid berkata, pihaknya mengesan kewujudan 91 sindiket dadah dan sudah berjaya dibanteras sehingga Jun lalu.

"RM420 juta nilai harta yang terkait dengan sindiket dadah berkenaan juga disita. Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.3 juta sudah dilucut hak membabitkan pelbagai harta," katanya.

Menurutnya, trend terkini penagihan dikesan adalah penagih kini mengambil pelbagai jenis dadah dalam satu-satu masa.

"Trend polydrug ini menyebabkan pengedar boleh mengedar pelbagai jenis dadah dalam satu masa.

"Selain itu, penagihan juga berlaku di parti liar yang dianjurkan, jumlah tangkapan semakin meningkat iaitu seramai 664 individu ditahan pada bulan Januari hingga Jun," katanya.

Disiarkan pada: July 12, 2020 @ 2:47pm
d