mutakhir

Berita palsu: 266 kertas siasatan dibuka

Oleh Amir Abd Hamid

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka sebanyak 266 kertas siasatan sehingga semalam berhubung berita palsu yang berkaitan Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu sebanyak 172 masih dalam siasatan manakala 30 kes sudah didakwa di mahkamah, 12 lagi diberikan notis amaran, 13 dalam proses perbicaraan dan 17 sudah mengaku bersalah.

Pada masa sama, katanya, sebanyak 351 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu sudah diperjelaskan kepada orang ramai oleh Pasukan Respon Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19.

"Pihak PDRM dan SKMM akan terus membuat pemantauan ketat terhadap penyebaran berita palsu. Kerajaan memandang serius dan tidak akan berkompromi terhadap penyebaran berita palsu yang terus berlaku.

"Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya dan boleh menyalurkan maklumat kepada PRP di talian 03-89115103.

"Atau boleh layari www.sebenarnya.my untuk menyemak kesahihan berita. Setakat hari ini, jumlah layaran portal sebenarnya.my sudah mencecah lebih 163 juta pelayar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media hari ini mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-117 dan hari ke-32 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sementara itu, katanya, sejak 30 Mac lalu Ops Sanitasi Awam Covid-19 di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah melakukan 9,193 operasi sanitasi merangkumi 134 zon.

"Sebanyak 12,683 premis sudah disanitasi yang terdiri daripada 2,686 pusat perniagaan, 5,529 bangunan kerajaan, 1,591 kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), 2,523 tempat awam dan 354 pasar raya.

"Semalam, sebanyak empat operasi sanitasi meliputi empat zon yang membabitkan tiga negeri iaitu Sabah, Pahang dan Wilayah Persekutuan.

"Operasi sanitasi ini membabitkan 27 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta 68 anggota pihak berkuasa tempatan (PBT). Empat jentera JBPM turut terbabit dalam operasi sanitasi awam ini," katanya.

Disiarkan pada: July 12, 2020 @ 3:41pm
d