mutakhir

Tiga lelaki ditahan memandu mabuk

Oleh Norsyazwani Nasri

TIGA lelaki ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi Op Mabuk yang dikendalikan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching di Jalan Padungan, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, dalam operasi yang bermula pada jam 9.30 malam hingga 1 pagi itu, tiga lelaki berusia 22, 24 dan 26 tahun diarahkan menjalani ujian awal pernafasan menggunakan alat 'Screening Device II'.

"Ujian pernafasan kedua menggunakan mesin 'Evidential Breath Analyzer' untuk mengesahkan kandungan alkohol dalam badan dan didapati dua orang positif manakala seorang lagi negatif.

"Jika sabit kesalahan, suspek boleh didakwa di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh membawa hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, seramai 83 orang diperiksa membabitkan penunggang motosikal (16) selain pemandu kereta (32), pacuan empat roda (6) dan van (3).

"Sebanyak 35 saman dikeluarkan kepada mereka kerana melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas.

"Antaranya tiada lesen memandu (2), gagal tunjuk lesen (7), kenderaan tiada hon (3), nombor plat tidak ikut peraturan (7), tiada nombor pendaftaran (3), tiada cermin pandang belakang (2), ubahsuai ekzos (3), tidak pakai topi keledar (2), ubahsuai struktur (1), lesen tamat tempoh (1) dan tidak pamer cukai jalan (4)," katanya.

Tamat

Disiarkan pada: July 12, 2020 @ 3:41pm
d