mutakhir

Bukit Aman kesan penjualan lambang Jata Negara dalam talian

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS mengesan terdapat pihak yang menjual lambang Jata Negara secara berleluasa di dalam talian.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pada 1 Julai lalu pihaknya menerima laporan berhubung kegiatan berkenaan.

"Saya ingin menegaskan bahawa tiada mana-mana individu yang boleh menggunakan apa-apa nama ternyata atau lambang ternyata serta tiruan serupa mengenainya untuk tujuan perdagangan, perniagaan dan pekerjaan.

"Lambang ternyata bagi maksud akta ini adalah Jogan, Jata dan Mohor rasmi Yang Dipertuan Agong serta Raja Permaisuri Agong," katanya ketika ditemui Harian Metro di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

Abdul Hamid berkata, lambang ternyata juga termasuk Mohor Besar Persekutuan, Jata Persekutuan, lambang atau meterai rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Selain itu, turut dilarang adalah darjah kebesaran, lambang kebesaran, pingat, lencana dan bintang kehormatan yang ditetapkan statut Yang Dipertuan Agong.

"Lambang pertubuhan polis jenayah antarabangsa (Interpol) dan lambang Bank Negara turut dilarang bagi aktiviti penjualan atau perdagangan," katanya.

Menurutnya, polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak terbabit.

"Tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 1963 (Pindaan 2016) yang boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Disiarkan pada: July 12, 2020 @ 3:48pm
d