mutakhir

Tiada projek dibatal, ditangguh [METROTV]

Oleh Omar Ahmad

SEMUA projek di Johor yang dirancang tahun ini akan dijajarkan semula serta diubahsuai berbanding perancangan asal, susulan penularan Covid-19.

Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad, tiada projek dibatalkan atau ditangguhkan, termasuk projek mega seperti Projek Sistem Transit Rapid (RTS) dan Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru.

Katanya projek RTS yang menghubungkan Johor dan Singapura dijangka bermula pada November tahun ini, manakala pemeteraian perjanjian projek yang menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru ke Woodlands, Singapura itu yang akan ditandatangani pada akhir bulan ini.

"Saya dimaklumkan, semua perkara yang dikehendaki dalam ketiga-tiga perjanjian itu telah pun dapat dipenuhi. Jadi apabila ia ditandatangani, dalam tempoh tiga bulan kita dapat melihat permulaan projek tersebut (dilakukan).

"Yang paling signifikan ialah depoh untuk penyelenggaraan, ubah suai dan operasi telah dipindahkan ke Johor iaitu di Wadihana, bukan di Mandai Singapura seperti sebelum ini.

"Tanah seluas enam sehingga tujuh ekar (2.4 hingga 2.8 hektar) di Wadihana juga telah dikenal pasti bagi pembinaan depoh itu dan ia dijangka akan membuka 500 peluang pekerjaan," katanya selepas lawatan Projek Jambatan Sungai Pulai di Iskandar Puteri, hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan MMC Corporation Berhad, Datuk Seri Check Khalib Mohamad Noh; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mohd Solihan Badri; dan barisan exco kerajaan negeri.

Pembinaan Jambatan Sungai Pulai, yang menghubungkan Gelang Patah, Johor Bahru ke Tanjung Bin, Pontian mencapai kemajuan 34 peratus dan dijangka siap Oktober 2021.

Projek bernilai RM700 juta itu, mula dibina pada September 2017 dengan kerjasama awam-swasta, dilengkapi laluan dua hala serta dua lorong sepanjang 7.5 kilometer.

Menurut Hasni, jambatan tersebut akan mengurangkan masa perjalanan kepada 15 minit, berbanding sejam di laluan asal.

"Secara tidak langsung ia akan memperhebatkan perjalanan dan aktiviti perniagaan bagi komuniti yang tinggal di dua daerah terbabit serta memberi kesan ekonomi kepada penduduk setempat," katanya.

Disiarkan pada: July 12, 2020 @ 4:29pm
d