mutakhir

Polis nafi penularan Covid-19 di UTC Seremban

Oleh BERNAMA

POLIS hari ini menafikan satu maklumat ditularkan melalui media sosial sejak semalam, kononnya terdapat penularan jangkitan pandemik Covid-19 di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Seremban.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, sebaliknya apa yang berlaku adalah seorang lelaki didapati ingkar perintah kuarantin sepatutnya dijalani di rumahnya selepas pulang dari luar negara.

"Kejadian berlaku pada 3 petang semalam apabila pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan kompaun kepada lelaki berusia 23 tahun itu kerana ingkar perintah kuarantin di rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Lelaki itu sepatutnya berada di rumah, tetapi masih degil pergi ke UTC Seremban untuk memperbaharui pasport antarabangsa miliknya, sekali gus melanggar perintah kuarantin ditetapkan.

"Tiada kes penularan Covid-19 di UTC Seremban seperti apa ditularkan semalam," katanya kepada Bernama di Seremban, hari ini.

Beliau memberi peringatan kepada orang ramai agar mematuhi arahan ditetapkan kerajaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 12, 2020 @ 7:06pm
    d