mutakhir

Bomba usung mayat turun flat

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengambil masa 10 minit untuk membawa turun mayat seorang lelaki yang dipercayai sudah meninggal dunia dua hari lalu di rumahnya di sebuah flat di Jalan Syed Mahadi, Kampung Baru di Kuala Lumpur hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima laporan polis mengenainya pada 5.58 petang.

"Seramai 13 anggota dengan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan Jalan Tun Razak dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, kami mendapati pihak polis sudah berada di lokasi dan memaklumkan mengenai mangsa berusia 42 tahun yang dipercayai meninggal dunia," katanya satu dalam kenyataan.

Menurutnya, anggota bertugas membawa turun mayat menggunakan pengusung dari rumah mangsa di tingkat dua flat berkenaan.

"Kami mengambil masa kira-kira 10 minit untuk membawa turun mayat mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Disiarkan pada: July 12, 2020 @ 8:37pm
d