mutakhir

Seludup 26 lembu korban

Oleh Siti Rohana Idris

MEMBAWA masuk lembu seludup dari Thailand secara sedikit demi sedikit dan dikumpulkan di sebuah kandang di kampung berhampiran dengan Sungai Golok sebelum dibawa ke pasaran tempatan.

Ia modus operandi penyeludup yang membawa masuk lembu seludup dipercayai untuk pasaran sempena Aidiladha sebelum kesemua 26 ekor haiwan itu dirampas di Kampung Kajang Sebidang, di Tumpat, malam tadi.

Rampasan dilakukan sepasukan anggota dari Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) yang sedang melakukan rondaan di sekitar Kuala Jambu sempena Op Benteng Covid-19 jam 10.44 malam.

Pegawai Pemerintahnya, Superintendan Azhari Nusi berkata, anggotanya terserempak dengan sebuah lori dengan muatan bertutup dengan kanvas dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota kami mengarahkan pemandu memberhentikan kenderaan itu berhenti di persimpangan jalan Kampung Kajang Sebidang.

"Pemeriksaan lanjut menemui 26 ekor lembu seludup dianggarkan bernilai RM156,000.

"Hasil soal siasat juga mendapati semua lembu itu diambil dari kandang di Kampung Bendang Pak Yong, Pengkalan Kubor untuk dibawa ke pasaran tempatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azhari berkata, anggotanya meminta pemandu lori menunjukkan dokumen berkaitan lembu itu, namun lelaki warga tempatan itu gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah.

Menurutnya lagi, pemandu serta kelindan yang masing-masing berusia 25 dan 24 tahun itu ditahan bersama barang rampasan dan dibawa ke Balai Polis Kuala Jambu untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Binatang 1953," katanya.

Disiarkan pada: July 13, 2020 @ 8:34am
d