mutakhir

'Hidung berdarah, mulut berbuih...'

Oleh Suraya Roslan dan Nurul Hidayah Bahaudin

HIDUNG berdarah, mulut berbuih dan lidah terjelir. Itu keadaan tiga bangkai kucing yang dibunuh kejam dengan 'dilemaskan' dalam tiga mesin basuh di kedai dobi layan diri di sebuah apartmen di Kepong, semalam.

Menurut penghuni apartmen itu yang hanya mahu dikenali sebagai Raidah, 39, bangkai kucing itu ditemuinya ketika mahu mencuci pakaian di premis berkenaan kira-kira 9 pagi.

Katanya, dia terkejut sebaik mendapati terdapat bangkai kucing di dalam tiga daripada kira-kira 10 mesin basuh di premis terbabit.

"Saya terkejut dengan keadaan bangkai haiwan itu apabila mendapati dua daripada kucing terbabit mengalami pendarahan pada hidung serta mulut berbuih.

"Seekor lagi kucing yang sedikit kecil daripada dua kucing berkenaan pula dilihat dalam keadaan lidahnya terjelir," katanya ketika dihubungi, semalam.

Raidah berkata, dia kemudian terus menghubungi polis sebelum tampil di Balai Polis Taman Desa Jaya untuk memberi keterangan berhubung kes itu.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu, ada seorang lelaki dilihat meletakkan kucing berkenaan secara bergilir-gilir ke dalam mesin terbabit jam 5.30 pagi.

"Menurut pengawal keselamatan di apartmen ini, lelaki terbabit dipercayai penghuni di kawasan ini. Difahamkan lelaki terbabit dipercayai mempunyai masalah mental," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 9.30 pagi semalam.

"Siasatan lanjut berhubung kes itu akan dirujuk kepada Pejabat Veterinar Shah Alam untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan tiga kucing berkenaan dibunuh kejam dengan 'dilemaskan' dalam tiga mesin basuh di kedai dobi layan diri berkenaan.

Berita berkaitan

Kejam, melemaskan tiga kucing dalam mesin basuh [METROTV]

Disiarkan pada: July 13, 2020 @ 8:40am
d