mutakhir

Lelaki bunuh kucing direman 4 hari

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

LELAKI berusia 30-an yang membunuh tiga ekor kucing secara kejam dengan 'dilemaskan' dalam tiga mesin basuh di sebuah kedai dobi layan diri di Kepong semalam sudah direman empat hari.

Menurut sumber, lelaki terbabit direman bagi membantu siasatan mengikut Akta kebajikan Haiwan 2015.

Lelaki itu diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) malam tadi oleh penduduk yang mengenalinya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam JPV Dr Zainita Mohd Noor berkata, bangkai kucing itu sudah diambil untuk dibuat bedah siasat bagi penyediaan laporan awal.

"Ia masih dalam siasatan dan penyediaan kertas laporan siasatan," katanya ketika dihubungi.

Harian Metro semalam melaporkan luluh hati seorang wanita apabila melihat tiga kucing dibunuh kejam dengan 'dilemaskan' dalam tiga mesin basuh di sebuah kedai dobi layan diri di Kepong.

Tindakan kejam itu dipercayai dilakukan seorang lelaki berusia 30-an pada 5.30 pagi.

Lelaki terbabit yang didakwa kurang siuman dan hidup gelandangan selama ini selepas kematian ibu bapanya ditahan bagi membantu siasatan selepas ditemui penduduk di Aman Puri.

Berita berkaitan

''Pembunuh' kucing sudah ditahan'

'Hidung berdarah, mulut berbuih...'

Kejam, melemaskan tiga kucing dalam mesin basuh [METROTV]

Disiarkan pada: July 13, 2020 @ 2:45pm
d