mutakhir

Jawatankuasa khas kekang bekalan dadah dari negara jiran [METROTV]

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

SATU jawatankuasa khas membabitkan 14 agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditubuhkan bagi mengekang kemasukan bekalan dadah dari negara jiran.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, jawatankuasa itu ditubuhkan susulan masih berlaku kemasukan dadah walaupun kawalan dilakukan di 12 kawasan berisiko tinggi di seluruh negara yang dijadikan model projek rintis membasmi penyalahgunaan dadah secara bersepadu.

Katanya, sepanjang enam bulan projek rintis itu dijalankan, kemasukan dadah masih berlaku walaupun secara runcit yang menyebabkan perkara itu perlu ditangani secara holistik daripada segi bekalan dan permintaan.

"Justeru, jawatankuasa khas ditubuhkan dari tiga negeri di Pantai Timur itu akan memberi tumpuan dan memikirkan apa yang perlu dilakukan bagi mengekang kemasukan dadah termasuk keperluan menambah pasukan keselamatan di kawasan sempadan.

"Kita tahu, lebih 90 peratus bekalan dadah di Malaysia dari negara jiran. Walaupun pelbagai tindakan diambil di kawasan sempadan iaitu Op Wawasan dan Op Merpati, kemasukan bekalan dadah masih berlaku.

"Malah, negeri dari Pantai Timur menyumbang kepada satu pertiga daripada penyalahgunaan dadah di negara ini dengan Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi yang dikenal pasti daripada segi penyalahgunaan dadah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Bagi Membincangkan Isu-Isu Penyeludupan Dadah di Negeri Pantai Timur di Kota Bharu, hari ini.

Zulkifli berkata, jawatankuasa khas berkenaan akan dinilai selama enam bulan sehingga akhir tahun ini sama ada terdapat perbezaan atau sebaliknya.

"Jika kita melihat harga sebiji pil kuda hanya RM10 sebiji, bermakna bekalan ini masih mudah diperoleh kerana harga masih murah. Jika selepas ini harga semakin mahal sehingga RM20 sebiji, bermakna bekalan dadah semakin sukar diperoleh, sekali gus menyaksikan jawatankuasa ditubuhkan itu berkesan.

"Pada masa sama, kita akan menyantuni masyarakat yang tinggal di sempadan bagi memperoleh maklumat tambahan dan semestinya lebih tahu berkaitan aktiviti penyeludupan.

"Justeru, kita berharap semua agensi memainkan peranan masing-masing kerana penyalahgunaan dadah di negara ini semakin meningkat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli mengakui berlaku peningkatan penyalahgunaan dadah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk penagih dadah berulang memandangkan tiada kaunseling dilakukan.

Beliau berkata, pelbagai kaedah dilakukan sepanjang tempoh itu termasuk menghantar menggunakan khidmat penghantar makanan dan perkhidmatan pos.

Disiarkan pada: July 13, 2020 @ 3:06pm
d