mutakhir

Gagal pecah masuk rumah, penjenayah larikan kereta

Oleh Norsyazwani Nasri

SELEPAS gagal memecah masuk sebuah rumah di Jalan Jade Villa, seorang penjenayah melarikan kereta dinaiki suami isteri di sebuah stesen minyak di Batu 8, Jalan Tunku Abdul Rahman, Sibu, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintendan Collin Babat berkata, suspek berusia 34 tahun itu gagal memecah masuk rumah di Jalan Jade Villa selepas disedari penghuni pda jam 6.35 pagi.

Katanya, penghuni rumah berkenaan mengejar suspek yang melarikan diri dan bersembunyi di dalam semak berhampiran.

"Kejadian itu dikongsi dalam kumpulan WhatsApp taman perumahan itu pada jam 9.30 pagi dan penduduk mengepung kawasan semak berkenaan untuk menangkap suspek.

"Suspek kemudian melarikan diri ke sebuah stesen minyak berdekatan kawasan perumahan itu dan melarikan Perodua Bezza dinaiki pesara tentera berusia 65 tahun bersama isterinya," katanya.

Katanya, mangsa dan isteri berjaya keluar dari kereta sebelim suspek memecut ke arah Bintulu.

"Hasil maklumat daripada orang awam memberitahu kereta milik berkenaan dilihat di kawasan Stapang.

"Menyedari kehadiran polis suspek keluar dari kereta dan terjun ke sungai untuk melarikan diri namun berjaya ditahan tidak lama kemudian," katanya.

Collin berkata, suspek direman dan menjalani ujian saringan air kencing untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 392 kanun sama.

Disiarkan pada: July 13, 2020 @ 3:19pm
d