mutakhir

Lumayan ternak arnab baka hiasan

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

"LEBIH 20 jenis arnab baka hiasan diternak dan sekarang dalam proses mendapatkan arnab baka German Giant (GG) berharga RM4,000 seekor," kata Noraisyah Mohamad Sufian, ketika ditemui di Tempat Penternakan Arnab Baka Hiasan di rumahnya di Kampung Pengkalan Maras, Kuala Nerus, hari ini.

Noraisyah, 27, berkata, dia menternak arnab sejak 2015 dan bermula dengan anak kampung dan kacukan berharga RM15 seekor.

"Pada mulanya kegiatan menternak arnab itu dijalankan untuk mengisi masa lapang dan sekadar suka-suka sahaja.

"Bagaimanapun selepas enam bulan, saya beralih kepada penternakan arnab baka hiasan selepas diyakini mempunyai potensi untuk berkembang.

"Saya memberanikan diri melaburkan duit simpanan RM16,500 untuk membeli 10 arnab baka Hollond Lop (HL)," katanya.

Menurutnya, dalam tempoh tiga bulan menternak HL, dia berjaya mendapatkan semula modal pembelian arnab itu hasil menjual anak HL itu dan selain mampu membuka Kedai Arnab dan Haiwan Peliharaan di Kampung Batu Rakit.

Katanya, bermula daripada situ, dia semakin bersemangat dan serius menternak arnab baka hiasan itu.

"Selepas lima tahun menternak, saya kini memiliki lebih 20 baka arnab hiasan terbaik di dunia termasuk arnab jenis Flemish Giant (FG) seberat lapan kilogram (kg), American Chinchilla, Netherland Dwarf, Dwaf Hotot, Dutch, Holland Lop, Jersey Wool, English Lop dan Mini Rex.

"Biarpun kos untuk mendapatkan arnab baka hiasan dibeli dari Amerika Syarikat dan Indonesia itu sangat tinggi, ia berbaloi dengan pulangan diperolehi hasil menjual anak arnab itu sekarang," katanya yang pernah mendapat anugerah Best of Breed di Pertunjukkan Arnab Kebangsaan Persatuan Penternak Arnab Malaysia (MARBA) ke-13 pada Januari lalu.

Menurutnya, dia menjual arnab yang diternak itu mengikut baka, warna dan gred dengan harga RM15 hingga RM5,000 seekor.

Katanya, dia kini memiliki 450 arnab termasuk 250 arnab pendaging dijual dengan harga RM35 hingga RM38 sekilogram.

"Paling mendapat sambutan ialah arnab jenis Nethland Dwarf, Dwaf Hotot serta Dutch dan biasanya anak arnab seusia sehari sudah terjual dan dibayar pelanggan sebelum diserahkan kepada mereka pada usia dua bulan.

"Selain menternak, saya menjadi mentor kepada 20 penternak arnab yang baru menjalankan kegiatan penternakan di sekitar kampung di bawah Program Penternakan Berkelompak," katanya.

Disiarkan pada: July 13, 2020 @ 4:24pm
d