mutakhir

Selamat Hari Lahir Tun M

Oleh Maiamalina Mohamed Amin dan Amir Abd Hamid

DEWAN Rakyat hari ini mengambil kesempatan mengucapkan selamat hari lahir kepada mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang ke-95.

Ucapan itu sebagai menghormati Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen paling veteran.

"Yang Berhormat, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ulang tahun hari lahir yang ke-95 kepada Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri ketujuh.

"Semoga Allah SWT memberikan kesihatan yang berpanjangan dan kekuatan tenaga untuk terus memberikan khidmat bakti kepada Dewan Rakyat dan negara yang tercinta ini," kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum memulakan sesi pertanyaan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen ke-14.

Dr Mahathir atau juga dikenali Tun M dilahirkan di Kampung Seberang Perak, Alor Setar, Kedah pada 10 Julai 1925.

Selain menjawat sebagai Perdana Menteri ketujuh selama 23 bulan, negarawan itu juga memimpin negara menjadi Perdana Menteri keempat Malaysia pada 16 Julai 1981.

Dalam pusingan pertama menjadi Perdana Menteri, negarawan itu menyandang jawatan berkenaan untuk tempoh yang paling lama dalam sejarah Malaysia dan Asia Tenggara, iaitu 22 tahun.

Dr Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri keempat pada 31 Oktober 2003.

Bagaimanapun pada 2016, Dr Mahathir muncul kembali di alam politik apabila beliau menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menandingi Barisan Nasional (BN).

Pada 2018, dalam satu kejutan politik, Bersatu dan parti-parti bersekutunya dalam Pakatan Harapan (PH), memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Pada usia 93 tahun, Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri ketujuh Malaysia.

Pada 24 Februari lalu, beliau sekali lagi meletakkan jawatan Perdana Menteri yang sekali gus meruntuhkan penguasaan PH.

PH kemudian digantikan Perikatan Nasional (PN) diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan membentuk kerajaan.

Disiarkan pada: July 13, 2020 @ 6:54pm
d