mutakhir

Kru kapal asing kes positif ke-580 Covid-19 di Sarawak

Oleh Mohd Roji Kawi

SEORANG kru kapal pengangkut gas cecair asli (LNG) warga Indonesia menjadi kes positif Covid-19 ke-580 Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, lelaki berusia 59 tahun itu mengalami sesak nafas dan demam ketika kapal LNG Jupiter yang dinaikinya melalui perairan Bintulu, Sabtu lalu.

Berikutan itu, kapten kapal menghantar mesej bantuan kecemasan kepada ejen perkapalan di Pelabuhan Bintulu dan memohon kebenaran untuk membawa turun lelaki terbabit dari kapal untuk rawatan lanjut.

"Lelaki warga Indonesia itu kemudian dibawa oleh ejen perkapalan ke Borneo Medical Centre (BMC), Bintulu pada malam Sabtu lalu dan dibuat saringan Covid-19.

"Saringan awal menunjukkan dia positif dan dirujuk ke Hospital Bintulu," katanya dalam sidang media di Kuching, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, ketika berada di Hospital Bintulu, lelaki terbabit berada dalam keadaan tidak sedar diri dan diberi bantuan alat pernafasan.

"Siasatan lanjut ujian makmal untuk Covid-19 mendapati ujian swab lelaki itu adalah positif pada 12 Julai 2020," katanya.

Lelaki terbabit dilaporkan menaiki kapal LNG Jupiter yang berdaftar di Bahamas dari pelabuhan Himeji, Jepun dan mula belayar pada 23 Jun lalu sebelum berlabuh di perairan Singapura pada 3 Julai.

"Dia menjalani saringan swab Covid-19 di Indonesia pada 16 Jun dan pada 22 Jun di Lapangan Terbang Kansai, Jepun sebelum belayar pada 23 Jun dengan keputusan kedua-dua ujian swab itu negatif.

"Bagaimanapun ketika memasuki perairan Singapura pada 3 Julai, dia mula mengalami cirit-birit dan pitam dan dirawat oleh Pegawai Perubatan dari NYK LNG Shipmanagement (UK) Limited tanpa menjalani saringan Covid-19 dijalankan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 13, 2020 @ 6:55pm
    d