mutakhir

3 kategori penuntut dibenarkan masuk USIM

Oleh Mohd Amin Jalil

UNIVERSITI Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai sudah sedia untuk memulakan operasi sepenuhnya apabila membenarkan kemasukan tiga lagi kategori pelajar ke kampus mereka mulai 20 Julai ini.

Naib Canselor USIM Prof Dr Mohamed Ridza Wahiddin berkata, kategori pelajar terbabit adalah tambahan kepada lima kategori yang diberikan kebenaran sebelum ini berdasarkan notis dikeluarkan USIM, 27 Mei lalu.

Katanya, ini menjadikan kesemuanya lapan kategori pelajar dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi menangani pandemik Covid-19.

"Tambahan tiga kategori itu membabitkan pelajar tahun satu, dua, tiga dan empat dalam bidang pengajian yang memerlukan latihan klinikal, latihan amali, praktikal, bengkel, makmal, studio atau peralatan khusus serta mereka yang perlu menduduki peperiksaan badan profesional.

"Pelajar terbabit adalah daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Pergigian, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina serta Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan.

"Selain itu, pelajar yang tidak mempunyai akses Internet atau persekitaran kondusif seperti ruang belajar yang sempit atau keadaan yang tidak selesa bagi melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PnP) secara maya," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam laporan media baru-baru ini, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Norani Ahmad mengumumkan kemasukan semula pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) ke kampus masing-masing dibuat secara berperingkat.

Mengulas lanjut, Mohamed Ridza berkata, mereka akan dihubungi pihak fakulti masing-masing untuk kembali ke kampus bagi mengikuti sesi PnP.

Beliau berkata, pelajar bertanggungjawab untuk mengurus sendiri keperluan penginapan dan perjalanan dengan lebih awal bagi memastikan sesi PnP tidak terganggu.

"Mereka juga boleh membuat permohonan penginapan di kolej kediaman pada masa sekarang sehingga cuti semester II Sesi Akademik 2019/2020 dengan merujuk kepada Pusat Perumahan Pelajar USIM," katanya.

Mengenai kemasukan pelajar antarabangsa pula, Mohamed Ridza berkata, mereka dibenarkan masuk sekiranya berdaftar dengan Education Malaysia Global Services dan mendapat kebenaran masuk ke Malaysia daripada Jabatan Imigresen Malaysia.

"Mereka perlu menjalani ujian teknik kit ujian pantas dalam tempoh tiga hari sebelum masuk ke Malaysia dengan kos adalah di bawah tanggungjawab pelajar sendiri.

"Pelajar terbabit juga perlu menjalani saringan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di pintu masuk negara ini dan seterusnya menjalani kuarantin diri selama 14 hari di lokasi yang akan ditetapkan oleh USIM," katanya.

Beliau juga memaklumkan bahawa kemasukan pelajar baharu USIM ke kampus itu pada Semester I Sesi Akademik 2020/2021 adalah pada Oktober depan.

Disiarkan pada: July 13, 2020 @ 7:04pm
d