mutakhir

Polis kesan 3 suspek pecah rumah, curi

Oleh Nurul Amanina Suhaini

POLIS mengesan tiga lelaki dipercayai ada kaitan dengan kes pecah rumah dan curi di sekitar Johor Bahru.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Fariz Ammar Abdullah berkata, usaha sudah dijalankan bagi mengesan suspek terbabit di alamat terakhir mereka, namun didapati tidak lagi mendiami di alamat berkenaan.

Katanya, individu yang dikehendaki polis itu adalah Zulfaqar Abdul Aziz, 28, dengan alamat terakhirnya di14, Jalan Aman 4, Taman Damai Jaya, Skudai, Johor.

"Selain itu, M Jegathesan, 38, dengan alamat terakhirnya di 01-13, Blok C, Jalan Dataran 2/8, Taman Kempas, Johor dan Azizan Abdullah, 25, dengan alamat terakhirnya di 8, Jalan Sri Perkasa 1/12, Taman Tampoi Indah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, sehubungan itu polis memohon kerjasama orang ramai yang mengenali atau mengetahui kedudukan suspek supaya berhubung dengan mana-mana balai polis berhampiran atau pusat kawalan daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di talian 07-556 3122.

Disiarkan pada: July 13, 2020 @ 7:17pm
d