mutakhir

Terlantar lumpuh sejak 20 tahun lalu

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

"SAYA pernah terfikir tidak mahu meneruskan hidup ini kerana tidak sanggup menahan kesakitan," kata pekerja am, Mahmuddin Yunus, 48, yang lumpuh separuh badan akibat penyakit misteri yang menimpanya sejak 20 tahun lalu.

Dia yang lumpuh dari paras pinggang ke bawah kini hanya mampu terlantar di rumahnya yang terletak di Kampung Parit 10 Gambut, Sungai Panjang, di Sungai Besar.

Lebih memilukan, Mahmuddin kini turut menghidap penyakit buah pinggang selain menderita penyakit diabetes yang menyebabkan ibu jari kaki kanan dan jari manis kaki kiri terpaksa dipotong.

"Orang yang tidak pernah sakit boleh cakap apa sahaja kerana mereka tidak meletakkan situasi diri sendiri dalam 'kasut' orang yang sakit.

"Dengan keadaan ini, saya terkilan kerana hasrat untuk menjaga ibu tidak kesampaian. Ibu, Saniah Abdul Manap, 78, juga turut lumpuh sejak beberapa tahun lalu.

"Bagaimanapun saya dan ibu reda dengan ujian ini dan percaya setiap kesulitan itu pasti ada hikmah. Setiap hari, saya berdoa supaya kami sekeluarga sentiasa dilindungi Allah dan bersyukur diberi peluang bersama ibu," katanya.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana abang dan kakak ipar tinggal berdekatan untuk menguruskan mereka berdua termasuk menghantar makanan.

"Saya hanya boleh makan roti dan minum susu khas. Sepatutnya saya menjaga ibu, tapi kini kami berdua terlantar sakit dan ada kala saya rasa terkilan.

"Untuk makan dan minum kami berdua boleh menguruskan sendiri. Cuma untuk cuci luka, saya terpaksa buat sendiri setiap hari walaupun disarankan doktor untuk melakukannya di klinik kesihatan berhampiran," katanya ketika ditemui dalam lawatan bersama Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parit 10 Gambut, Sungai Panjang, Zamri Jamil, hari ini.

Menurut Mahmuddin, dia menerima bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM 250 sebulan manakala Saniah turut menerima bantuan warga emas juga daripada JKM sebanyak RM 250.

"Saya yang mengalami masalah pernafasan turut bersyukur apabila menerima mesin bantuan pernafasan bernilai RM 3,000 yang disumbangkan Lembaga Zakat Selangor (LZS)," katanya.

Sementara itu, Zamri berkata, nasib Mahmuddin dan ibunya mendapat perhatian Pemuda AMANAH Kawasan Sungai Besar yang diketuai Ketua Pemudanya, Ahmad Zhafri Md Noor dalam program Ziarah Peduli, semalam.

Disiarkan pada: July 13, 2020 @ 7:26pm
d