mutakhir

Waris Nazrin sepatutnya terima pampasan RM1.08 juta

Oleh BERNAMA

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini diberitahu bahawa jumlah pampasan insurans yang sepatutnya diterima waris Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan adalah sebanyak RM1.08 juta.

Bagaimanapun, balu Nazrin iaitu Samirah Muzaffar didakwa tidak pernah mengemukakan sebarang tuntutan pampasan insurans yang dibeli syarikat itu.

Saksi pendakwaan ke-27, bekas Pengurus Sumber Manusia Cradle Fund Natasya Aziaton Abdul Aziz, 35, berkata, sepanjang beliau memegang jawatan itu sehingga tahun lalu, Samirah yang juga tertuduh pertama kes pembunuhan Nazrin, tidak pernah menyerahkan sebarang dokumen untuk menuntut pampasan daripada polisi insurans berkenaan.

"Sehingga pertengahan tahun lepas, tiada sebarang tuntutan dibuat oleh Samirah.

"Dia juga tidak pernah bertanya berapa banyak jumlah pampasan yang akan dibayar oleh syarikat insurans hayat atau peratus yang akan diperoleh berikutan kematian suaminya itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan balas daripada peguam bela L.S Leonard, di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Tambah Natasya Aziaton lagi, sepanjang berkhidmat dengan syarikat Cradle Fund Sdn Bhd sejak 2014, hanya satu bayaran insurans hayat diberikan kepada waris kakitangan syarikat yang meninggal dunia dan kematian Nazrin pula, adalah kes pertama membabitkan kakitangan berjawatan tinggi.

Beliau turut memberitahu, pampasan insurans yang dijangka diterima oleh waris Nazrin adalah kira-kira RM1.08 juta.

Katanya, bayaran itu meliputi pampasan insurans hayat berjumlah RM500,000, insurans kemalangan sebanyak RM503,000 dan bakinya adalah bayaran kepada faedah yang layak diterima oleh Nazrin.

"Cradle Fund sebagai pemegang polisi insurans bagaimanapun masih belum menerima bayaran daripada syarikat insurans, kerana dokumen yang diperlukan masih belum lengkap," katanya bagi menjawab soalan daripada Timbalan Pendakwa Raya Ashyraf Ashy'ari Kamaruzaman.

Samirah, 45, dan dua remaja lelaki, masing-masing berusia 17 dan 14 tahun, serta seorang wanita Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, didakwa membunuh Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara, antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Perbicaraan bersambung esok.

Disiarkan pada: July 13, 2020 @ 8:11pm
d