mutakhir

Thailand sedia bincang selesai aktiviti seludup migran

Oleh Noorazura Abdul Rahman

THAILAND bersedia berbincang dengan Malaysia untuk mencari penyelesaian terbaik dalam usaha menangani isu pemerdagangan manusia yang berlaku di sempadan Malaysia-Thailand.

Duta Thailand ke Malaysia, Narong Sasitorn berkata, ia termasuk mengadakan kerjasama dengan kerajaan Kedah berikutan Pulau Langkawi sering menjadi tempat pendaratan etnik Rohingya.

Katanya, ia bukan hanya membabitkan Malaysia atau Thailand sahaja, sebaliknya semua pihak perlu memainkan peranan untuk menangani isu berkenaan.

"Negara rantau juga harus melihat masalah ini dalam pendekatan yang lebih holistik untuk menyelesaikannya dengan lebih baik.

"Mereka sebenarnya tidak lagi perlu terbabit dalam krisis pemerdagangan manusia jika perhatian diberikan oleh negara serantau," katanya ketika sidang media selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan Kedah sangat mengharapkan kerjasama daripada negara jiran itu untuk menangani jumlah kemasukan pendatang asing yang semakin meningkat terutamanya melalui perairan Pulau Langkawi.

Katanya, Kedah adalah negeri yang dipilih oleh sindiket pemerdagangan membabitkan etnik Rohingya untuk mendarat sehingga berlaku peningkatan kehadiran mereka.

"Kita tak tahu kenapa mereka pilih (Pulau) Langkawi, mungkin mereka rasa di sini sesuai untuk mereka dan mungkin juga Thailand tak mahu terima, jadi saya harap kerajaan Thailand dapat memandang serius perkara ini," katanya.

Disiarkan pada: July 13, 2020 @ 8:19pm
d