mutakhir

Dulu lima, sekarang 23...

Oleh Siti Rohana Idris

PELABURAN RM15,000 untuk membeli lima ekor rusa empat tahun lalu, berbaloi apabila haiwan ternakannya itu kini membiak sehingga 23 ekor.

Melihat kepada potensi penternakan rusa yang cerah, Zolkfli Yusoff, 67, dari Felda Kemahang 2, Tanah Merah, mula memasang impian untuk menambahkan lagi baka rusa ternakannya itu kepada 60 ekor dalam masa terdekat.

Dia yang juga peneroka kelapa sawit berkata, sasarannya itu dibuat memandangkan permintaan terhadap rusa sama ada jualan daging atau rusa hidup sangat menggalakkan.

"Buat masa kini saya hanya menternak untuk dijadikan baka sahaja dan belum berani menawarkan secara besar-besaran kerana bimbang tidak mampu menampung permintaan.

"Saya hanya menjual secara kecil-kecilan sahaja apabila daging biasanya RM65 hingga RM70 untuk sekilogram manakala rusa hidup pula antara RM3,000 hingga RM4,000 seekor," katanya.

Ternakan 23 rusa itu dilakukan di tanah seluas 0.2 hektar dengan bantuan seorang daripada tujuh anaknya yang mengendalikan urusan berkaitan kewangan.

Disiarkan pada: July 13, 2020 @ 8:31pm
d