mutakhir

Cuaca lembap hingga hujung bulan

Oleh Redzuan Muharam

HUJAN lebat berterusan beberapa jam yang berlaku sejak semalam sehingga pagi hari ini di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia berpunca daripada penumpuan angin tenggara dan angin barat daya di selatan serta angin barat daya dan angin barat laut di kawasan utara.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) Kementerian Alam Sekitar dan Air Jailan Simon berkata, keadaan itu juga berlaku serentak dengan air pasang yang berlaku pada awal pagi.

Menurutnya, cuaca lembap yang berlaku ketika ini dijangka berkurangan menjelang lewat petang hari ini.

"Untuk makluman, negara masih sedang dalam monsun barat daya yang biasanya kurang hujan.

"Bagaimanapun, intensiti monsun barat daya pada tahun ini adalah lemah berbanding biasa dan ini menyebabkan cuaca yang lembap di negara kita terutamanya pada bulan Jun dan Julai.

"Keadaan cuaca lembap ini berlaku dari semasa ke semasa dan dijangka berterusan sehingga hujung Julai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Jailan, kawasan pesisir pantai barat Semenanjung berpotensi berlaku hujan lebat serta ribut petir (garis badai) pada awal pagi kerana daripada penumpuan angin barat daya.

"Pada sebelah petang, keadaan cuaca yang sama dijangka berlaku di kawasan pedalaman negeri Perak, Selangor, Johor, Pahang, Kelantan, Sabah dan Sarawak," katanya.

Disiarkan pada: July 13, 2020 @ 10:01pm
d