mutakhir

Koperal maut dalam kemalangan

Oleh Adnan Ibrahim

SEORANG anggota polis maut selepas kereta dipandu terbabit kemalangan membabitkan lima kenderaan di di Kilometer 67.1 Leburaya Utara Selatan arah utara, dekat Kluang, malam tadi.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, mangsa maut, Koperal Shahirul Shahzal Md Hussein, 53, dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, kemalangan membabitkan motosikal, lori dan tiga kereta.

Beliau berkata, semua kenderaan terbabit dari arah sama iaitu dari Johor Bahru menghala ke Kuala Lumpur.

Katanya, kejadian bermula selepas seorang lelaki terjatuh dari motosikalnya ketika cuba mengelak satu objek di atas jalan raya.

"Dia sempat bangun dan menolak motosikalnya ke tepi jalan. Bagaimanapun, kereta di belakang motosikal itu tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal lelaki berkenaan.

"Ia menyebabkan pemandu memberhentikan kereta itu secara mengejut. Pada masa sama, sebuah lori tidak jauh di belakang kereta berkenaan terpaksa memberhentikan lori dipandunya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, akibatnya, Shahirul Shahzal yang memandu kereta di belakang lori berkenaan tidak sempat memberhentikan kenderaan dan merempuh bahagian lori berkenaan.

"Kemalangan turut membabitkan sebuah lagi kereta di belakang kereta dipandu mangsa," katanya.

Mohd Abduh berkata, mayat mangsa dihantar Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: July 14, 2020 @ 9:12am
d