mutakhir

Kaji impak penebusan Ganti Cuti Rehat penjawat awam

Oleh Maiamalina Mohamed Amin dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

DEWAN Rakyat diberitahu bahawa perlaksanaan pembayaran Ganti Cuti Rehat (GCR) untuk tempoh 75 hari ketika penjawat awam masih berkhidmat adalah lebih rendah berbanding sekiranya dibayar ketika bersara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan kini sedang menjalankan kajian impak perlaksanaan penebusan GCR kepada wang tunai selama 75 hari kepada penjawat awam yang berkhidmat lebih 15 tahun.

Menurutnya, ketika ini pembayaran GCR adalah sebanyak 150 hari sebaik penjawat awam bersara sebagai penghargaan kerajaan atas sumbangan penjawat awam ketika berkhidmat.

"Kerajaan memutuskan untuk mengkaji semula cadangan berkenaan (untuk pembayaran 75 hari ketika perkhidmatan) kerana ia dilihat tidak menguntungkan penjawat awam kerana jumlah diterima jauh lebih rendah.

"Ini kerana gaji akhir ketika perkhidmatan adalah lebih tinggi berbanding gaji semasa jika GCR dibayar ketika mereka berkhidmat," katanya.

Takiyuddin (PAS-Kota Bharu) berkata demikian pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur , hari ini.

Beliau menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) yang mahu tahu status pelaksanaan penebusan GCR kepada wang tunai selama 75 hari bagi penjawat awam yang berkhidmat selama 15 tahun seperti yang diumumkan dalam Bajet 2020.

Takiyuddin juga memberi contoh sekiranya GCR dibayar kepada pegawai gred M54, mereka hanya akan menerima RM55,107.90 tetapi hanya menerima RM15,355.05 jika ditebus untuk 75 hari ketika berkhidmat.

Beliau berkata, kajian masih diteruskan dan sama ada dikekalkan seperti yang diumumkan kerajaan sebelum ini atau ditambah baik hanya akan diketahui sebaik ia selesai dilaksanakan.

Disiarkan pada: July 14, 2020 @ 11:11am
d