mutakhir

Berang tidur diganggu, belasah sepupu

Oleh Nur Izzati Mohamad

BERANG tidurnya diganggu dengan bunyi bising di luar rumah menyebabkan seorang lelaki bertindak memukul sepupunya dengan paip PVC hingga mengalami kecederaan di Permatang Kerai Besar, Kepala Batas, Sabtu lalu.

Dalam kejadian 3 pagi, lelaki berusia 24 tahun itu terdengar bunyi bising di luar rumah ketika dia tidur dan mendapati sepupu lelakinya berusia 26 tahun mengalihkan kenderaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata perbuatan itu menyebabkan suspek tidak tahan kerana tidurnya diganggu lalu mengambil paip PVC sebelum memukul belakang badan dan paha kiri sepupunya.

"Mangsa cuba mempertahankan dirinya daripada dipukul namun dia mengalami lebam dan luka serta sakit di bahagian terbabit.

"Suspek kemudian masuk semula ke rumahnya untuk sambung tidur," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa datang membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan diri, ibu bapanya dan juga ibu saudara serta neneknya yang tinggal di rumah suspek.

"Bertindak melalui laporan yang diterima polis membuat tangkapan di rumah suspek yang terletak dua meter dari rumah mangsa pada 6.30 petang semalam.

"Semakan yang dibuat mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik," katanya.

Noorzainy berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek juga mendapati dia positif dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: July 14, 2020 @ 11:44am
d