mutakhir

Bukan semua orang boleh dapat kewarganegaraan [METROTV]

Oleh Maiamalina Mohamed Amin dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

"INI adalah negara berdaulat, tidak senang untuk semua orang memperoleh kewarganegaraan kita," kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, kerajaan meluluskan permohonan kewarganegaraan bukan bersandar faktor kemanusiaan semata, sebaliknya mengutamakan dokumen yang menunjukkan asal-usul anak tanpa kad pengenalan (stateless child).

Katanya, lebih penting kepada kerajaan adalah memastikan golongan itu memperoleh identiti dan ia perlu diselaraskan dengan lebih baik.

"Bukanlah semua orang stateless ini mesti diberikan kewarganegaraan, yang pentingnya kita tahu apa taraf yang perlu diberi kepada mereka," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Mohd Shafie meminta penjelasan mengenai langkah diambil kerajaan dalam menyelesaikan isu anak tanpa kad pengenalan yang didakwa masih berlarutan.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, isu itu serius dan ia perlu diselesaikan secara berhati-hati dengan penelitian terhadap dokumen yang sah.

Kepada soalan asal Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Kuching) mengenai pelan kerajaan dalam mempercepatkan proses mendapatkan status kewarganegaraan untuk anak tanpa kad pengenalan, Hamzah berkata, kementerian selesai menambah baik Prosedur Pengendalian Standard (SOP) Permohonan Kewarganegaraan mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan dengan tempoh pemprosesan lebih singkat bagi permohonan lengkap yang diterima mulai 2020.

"Penambahbaikan SOP berkenaan adalah berdasarkan kepada pematuhan syarat di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Kewarganegaraan 1964 [LN82/1964] serta turut mengambil kira pelbagai aspek termasuklah kebajikan pemohon tanpa mengabaikan keselamatan dan kesejahteraan warganegara sedia ada.

"Kelahiran yang berlaku di Malaysia tidak menyebabkan seseorang individu memperoleh kewarganegaraan Malaysia secara automatik, sebaliknya ditentukan berdasarkan kepada status perkahwinan," katanya.

Menurutnya, ia juga mengikut taraf kewarganegaraan ibu bapa kandung sewaktu kelahiran berlaku, selaras dengan peruntukan di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, Peraturan Kewarganegaran 1964 [LN82/1964] serta perundangan berkaitan yang berkuat kuasa dalam isu pendaftaran perkahwinan, pengangkatan, kesahtarafan anak, dan peraturan imigresen.

Katanya, ibu bapa dan penjaga kepada individu yang bertaraf 'Belum Ditentukan' atau 'Bukan Warganegara' bertanggungjawab sepenuhnya untuk menguruskan kewarganegaraan, dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan dengan negara asal bagi mengelakkan ketiadaan dokumen pengenalan diri, keberadaan tidak sah di Malaysia dan seterusnya disalah anggap sebagai tidak memiliki kewarganegaraan dari mana-mana negara (stateless).

Disiarkan pada: July 14, 2020 @ 12:59pm
d