mutakhir

'Kami gunakan label, tapi belum masuk Bersatu'

Oleh Maiamalina Mohamed Amin dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

AHLI Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin memaklumkan dia bersama beberapa bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) belum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, bagaimanapun dia dan 'kumpulannya' menggunakan label Bersatu dalam sidang Dewan Rakyat.

Menurutnya, setakat ini status keahlian dia dan kumpulannya masih belum lagi diputuskan sehingga Bersatu selesai mengadakan pemilihan dan Mesyuarat Agung.

"Atas alasan strategik, kami gunakan label Bersatu (dalam Dewan Rakyat) tetapi secara teknikal, kami masih belum masuk ke dalam Bersatu.

"Kami masih menunggu perincian bagaimana untuk masuk Bersatu," katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

Zuraida berkata, tidak praktikal ketika ini sebuah parti baharu ditubuhkan kerana sekurang-kurangnya memerlukan tiga tahun untuk ditubuhkan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum.

Zuraida bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali antara bekas ahli PKR yang menyertai Bersatu sehingga membentuk Perikatan Nasional.

Disiarkan pada: July 14, 2020 @ 1:09pm
d