mutakhir

Program Subsidi Upah bernilai RM5.2 bilion sudah diagih

Oleh Maiamalina Mohamed Amin dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

DEWAN Rakyat dimaklumkan Program Subsidi Upah (PSU) bernilai RM5.2 bilion sudah diagihkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sehingga 30 Jun lalu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, peruntukan itu berjaya menghalang lebih ramai rakyat kehilangan kerja ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Menurutnya, pengagihan sudah dibuat kepada 319,000 majikan dengan membabitkan 2.6 juta pekerja yang terjejas teruk kerana penularan wabak itu.

"Daripada keseluruhan permohonan, Perkeso menerima tuntutan tertinggi menerusi program ini daripada sektor perkhidmatan dengan 92,000 permohonan atau 29 peratus daripada keseluruhan permohonan.

"Menerusi Sistem Insuran Pekerjaan (SIP) Perkeso, seramai 48,727 individu kehilangan pekerjaan sejak Januari hingga 30 Jun lalu.

"Kerajaan buat pertama kalinya memperkenalkan dana khas untuk memastikan majikan terus kekal beroperasi sekali gus membina pertumbuhan ekonomi negara," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Saravanan (BN-Tapah) berkata demikian ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri bagi jawapan lisan yang dikemukakan M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat)

Dalam soalannya, Kulasegaran mahu mengetahui jumlah majikan yang diluluskan dibawah PSU dan jumlah subsidi yang sudah disalurkan kepada pekerja selain jenis industri yang memohon tuntutan tertinggi.

Dalam sesi sama, Saravanan menjelaskan kepada Dewan Rakyat, Kementerian Sumber Manusia kini giat menjalankan pelbagai inisiatif untuk memastikan golongan pekerja yang terjejas mendapat pekerjaan secepat mungkin.

Katanya, pekerja yang terjejas dalam sektor pelancongan akan diberi kemahiran tambahan untuk membolehkan mereka menerokai peluang pekerjaan dalam bidang lain.

"Menerusi data Jabatan Perangkaan Malaysia, seramai 788,800 penganggur direkodkan untuk tempoh April tahun lalu sehingga April lalu.

"Mereka terdiri daripada graduan baru, lepasan sekolah, bekerja sendiri dan mereka yang diberhentikan kerja," katanya.

Disiarkan pada: July 14, 2020 @ 2:00pm
d