mutakhir

Polis siasat kes liwat kanak-kanak tular di media sosial

Oleh Nor Farhani Che Ad

POLIS sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian seorang kanak-kanak lelaki diliwat yang didakwa berlaku di Taman Anggerik di Sungai Petani seperti tular dalam media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pihaknya sudah mengesan pemilik laman sosial berkenaan dan meminta beliau tampil ke Balai Polis Sungai Petani bagi mendapatkan maklumat lanjut.

"Berdasarkan maklumat diberikan, individu berkenaan mengesahkan mengenai kejadian itu.

"Polis sedang cuba mengesan mangsa dan maklumat lanjut akan diberitahu kelak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menerusi laman sosial berkenaan, pemilik akaun terbabit yang juga seorang wanita mendakwa melihat kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia lingkungan tujuh tahun diliwat seorang lelaki di belakang sebuah kontena berdekatan taman permainan di perumahan terbabit.

Wanita berkenaan mendakwa bertindak membunyikan hon dengan kuat menyebabkan lelaki berkenaan terkejut dan melepaskan kanak-kanak itu.

Lelaki berkenaan dikatakan cuba melarikan diri namun sempat ditahan penduduk perumahan itu selepas mendengar jeritan wanita berkenaan.

"Terkejut orang-orang lorong Taman Anggerik tu..peliwat tu tinggal di lorong itu juga.

"Lelaki itu dah kena belasah teruk dengan ahli keluarga dia sendiri dan orang-orang Taman Anggerik 'handle' kes tu," katanya.

Wanita itu berkata, mangsa dikatakan melarikan diri berkemungkinan terkejut mendengar jeritannya.

Disiarkan pada: July 14, 2020 @ 3:03pm
d