mutakhir

Kuantan catat kes denggi tertinggi di Pahang

Oleh Asrol Awang

DAERAH Kuantan merekodkan kes denggi tertinggi iaitu 1,178 kes daripada keseluruhan 1,669 kes di Pahang, setakat semalam.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Norkamawati Kamal berkata, sebanyak 15 lokaliti wabak dikesan di daerah itu.

Beliau brkata, lokaliti wabak aktif adalah di Taman PASDEC Makmur, Taman TAS Utara, Kampung Sungai Karang Pantai, Taman Astana View Fasa 2, Taman PASDEC 2 Indera Mahkota 2, Sungai Isap 2 Fasa 2 dan PAKR Kampung Padang Fasa 1.

"Selain itu, Taman Berjaya Permai, Taman TAS Tengah, Sungai Isap 2 Fasa 3, Taman Indera Sempurna 1 Fasa A, Taman Pandan Damai 2 Fasa 2, Kampung Lubok Puyu, Kampung Razali dan Taman Sekilau (Lorong Bukit Ubi 12).

"Peningkatan kes denggi disebabkan persekitaran rumah tidak bersih dan banyak bekas pembiakan di dalam serta luar rumah.

"Antara bekas pembiakan di dalam rumah adalah penapis air, baldi, rak pinggan dan talam peti sejuk manakala bekas pembiakan di luar rumah pula adalah pasu bunga, tong air di lorong belakang, setor, garak, kebun tidak diuruskan serta pembuangan sampah haram di rumah kampung dan rumah lot," katanya dalam satu kenyataan di Kuantan, hari ini.

Sementara itu, dalam operasi kacau ganggu bagi penularan wabak denggi di Kuantan, hari ini, sebanyak 10 notis dikeluarkan terhadap pemilik rumah.

Operasi serentak itu dilakukan di Balok Makmur, Seri Setali Jaya dan Taman Berjaya Permai membabitkan 60 kakitangan MPK dan Pejabat Kesihatan Daerah diketuai Ketua Operasi Penguatkuasaan MPK, Shahrul Azlan Abd Rahim.

Shahrul Azlan berkata, 10 pemilik yang menerima notis diberi tempoh tiga hari untuk melakukan pembersihan di premis masing-masing.

"Jika gagal mematuhi notis, dua tindakan boleh diambil terhadap pemilik sama ada mengenakan caj pembersihan yang dilakukan MPK atau menghadapkan mereka ke mahkamah," katanya.

Disiarkan pada: July 14, 2020 @ 3:16pm
d