mutakhir

Sedia khidmat sanitasi percuma cegah Covid-19

Oleh Mohd Rafi Mamat

LIMA sahabat tampil mengadakan program Jelajah Khidmat Masyarakat bagi memberikan perkhidmatan sanitasi secara percuma membabitkan masjid, surau, pusat kebajikan dan sekolah tahfiz di Kuantan.

Ketua Operasinya, Ahmad Al Syafiq Che Ahmad, 32, berkata, sejak ditubuhkan Mac lalu, mereka sudah melakukan lebih 20 perkhidmatan semburan percuma mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, aktiviti membersih sambil beramal itu, pihaknya turut menyediakan van jenazah bagi badan khairat kematian dan pengurusan jenazah masjid di Pahang dengan bayaran serendah RM18.

"Pengalaman sebagai bekas jururawat kesihatan sebelum ini memudahkan kami memberi perkhidmatan terbaik mengikut SOP ditetapkan pihak berkuasa.

"Kami bergabung dengan dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Silat Tapak Setia Suci (TSS) Warisan Mat Kilau dan Malaysia Search and Rescue (Mysar) menyediakan perkhidmatan membasmi kuman secara percuma kepada masjid, surau, pusat kebajikan dan sekolah tahfiz di Kuantan.

"Aktiviti berkenaan antara amal jariah saya dan rakan kepada pihak memerlukan dalam usaha menyekat penularan wabak Covid-19 di Pahang," katanya.

Disiarkan pada: July 14, 2020 @ 3:24pm
d