mutakhir

Masjid dibenar pasang khemah [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

PENGURUSAN masjid dibenarkan memasang khemah di perkarangan rumah ibadat itu jika ruang solat tidak mencukupi.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak pengurusan masjid perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, ia susulan keputusan Mesyuarat Khas yang bersetuju membenarkan masjid dan surau untuk memperluaskan kapasiti solat Jumaat dan berjemaah mengikut saiz dan ruang solat.

"Khemah mesti dipasang dalam kawasan masjid dengan mematuhi SOP seperti individu yang datang ke masjid perlu mengisi nama, memeriksa suhu badan dan mengamalkan penjarakan sosial.

"Dulu kita umum hanya satu pertiga, namun kini boleh dilakukan secara terbuka mengikut kapasiti masjid, jika tidak cukup khemah boleh dipasang di perkarangan masjid," katanya pada sidang media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kebenaran ini juga boleh diguna pakai di rumah ibadat bukan Islam tertakluk kepada pematuhan penjarakan sosial.

"Bagi upacara keagamaan Kristian di gereja yang dijalankan dalam pelbagai bahasa, mereka dibenarkan mengadakan upacara berkenaan secara bergilir.

"Sebagai contoh mungkin selepas sejam bahasa tertentu digunakan, kita benarkan," katanya.

Disiarkan pada: July 14, 2020 @ 3:41pm
d