mutakhir

Kembalikan undang-undang banteras jenayah

Oleh Maiamalina Mohamed Amin dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

PASUKAN Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG), Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING) dan Pasukan Khas Jenayah Terancang (STAFOC) wajar ditubuhkan semula berikutan keupayaannya mengurangkan indeks jenayah negara.

Dewan Rakyat diberitahu hari ini, bahawa indeks jenayah ketika adanya tiga pasukan khas berkenaan, menurun sebanyak 42 peratus, menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Ketika unit khas ini ditubuhkan termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA); Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan sebagainya, kadar jenayah ketika itu menurun ke tahap 42 peratus dan di dalam keadaan begitu pada khidmat saya, ia tidak ada agenda politik.

"Apabila unit tersebut ditubuhkan, apatah lagi apabila pembesaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada lapan kepada 10 jabatan, ertinya fokus diberikan kepada pembanterasan jenayah," katanya yang turut memberitahu fokus itu demi mewujudkan rasa selamat dalam kalangan rakyat dan negara selain menarik pelaburan negara.

Celahan Ahmad Zahid itu kemudian diambil kira Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) dalam ucapan usul Titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kata Ahmad, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin perlu memberi perhatian perkara itu dan mempertimbangkan untuk mengembalikan semula jabatan khas dan undang-undang yang boleh mengurangkan jenayah dalam negara.

Mengenai cara mengembalikan rasa hormat rakyat terhadap pasukan keselamatan yang rendah ketika pemerintahan Pakatan Harapan seperti ditanya Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik), beliau berkata, sekiranya mahu mengembalikan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis [IPCMC] bagi menaikkan imej polis, ia perlulah mendapat input daripada agensi berkenaan.

"Jika PDRM tak setuju, maka tidak wajar dibuat IPMC," katanya.

Disiarkan pada: July 14, 2020 @ 4:06pm
d