mutakhir

Dua lelaki dicekup edar kokain RM600,000

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

KEGIATAN dua lelaki mengedar dadah kokain bernilai RM600,000 untuk pasaran Taiwan tumpas selepas polis menahan mereka di Batu 5, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, suspek berusia 47 dan 44 tahun ditahan jam 2.15 petang ketika berada di dalam kereta jenis Mercedes Benz.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui dadah disyaki kokain seberat 3,278.1 gram bersama wang tunai RM500.

"Salah seorang suspek memiliki lapan rekod jenayah lampau di mana ujian saringan air kencing mereka positif methamphetamine.

"Siasatan mendapati suspek terbabit dalam kegiatan itu sejak dua bulan lalu untuk pasaran Taiwan dan mereka direman enam hari bermula Sabtu lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata, nilai rampasan termasuk sitaan kereta dan wang tunai adalah RM775,500.

Disiarkan pada: July 14, 2020 @ 4:39pm
d