mutakhir

Selangor laksana semula pemberian wang khairat kematian

Oleh Norzamira Che Noh

KERAJAAN Selangor akan melaksanakan semula pemberian wang khairat kematian di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, hal itu akan diumumkan pada sesi belanjawan pada November ini.

Amirudin juga menegaskan kerajaan negeri tidak pernah memansuhkan program berkenaan sebaliknya mereka meneliti dan membuat penjajaran semula.

"Jumlah wang khairat kematian ini mungkin tidak sebanyak dahulu, tetapi kita sentiasa menghargai rakyat di negeri ini iaitu yang masih hidup diberi bantuan baucar Jom Shopping dan apabila sudah meninggal, keluarga akan diberi wang khairat untuk menguruskan jenazah.

"Itulah semangatnya, hidup senang, mati pun senang, yang hidup kita layani dan apabila sudah mati, kita hormati dan beri penghargaan," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Dr Idris Ahmad pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Menurutnya, Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) akan menguruskan program berkenaan.

Kerajaan negeri menghentikan pemberian wang khairat kematian pada Mei tahun lalu dan digantikan dengan pemberian baucar Jom Shopping.

Amirudin dilaporkan berkata, keputusan berkenaan diambil susulan pelaksanaan pelarasan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang memperuntukkan RM100 setiap tahun kepada golongan berkenaan menerusi program Jom 'Shopping' Warga Emas.

Disiarkan pada: July 14, 2020 @ 4:41pm
d