mutakhir

Banjir di Johor mula surut

Oleh Mohamed Farid Noh

JUMLAH mangsa banjir empat daerah di negeri ini menurun sedikit kepada 910 orang yang ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga jam 4 petang ini berbanding 1,271 mangsa pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, faktor cuaca mendung dan tidak hujan menyebabkan banjir di beberapa kawasan mulai surat.

Bagaimanapun katanya, pemantauan berterusan selain langkah berjaga-jaga sudah diambil berikutan keadaan cuaca masih tidak menentu dengan mendung di kebanyakan daerah meningkatkan kebimbangan hujan lebat yang akan mengakibatkan banjir di kawasan rendah dan berisiko.

"Mangsa banjir di Muar menurun kepada 682 orang daripada 179 keluarga petang ini yang masih ditempatkan di lapan PPS berbanding 815 orang daripada 215 keluarga pagi tadi.

"Di Pontian pula, mangsa banjir menurun kepada 146 orang daripada 43 keluarga yang ditempatkan di dua PPS berbanding 171 mangsa daripada 49 keluarga, pagi tadi.

"Mangsa banjir di Tangkak juga menurun kepada 67 orang daripada 10 keluarga di dua PPS berbanding 267 mangsa daripada 63 keluarga, pagi tadi.

"Batu Pahat pula kekal dengan 15 orang mangsa daripada empat keluarga di sebuah PPS," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, tiga PPS masing-masing di Muar, Tangkak dan Pontian juga sudah ditutup antara jam 12.30 tengah hari hingga 4 petang ini.

"Bagaimanapun, orang ramai di kawasan rendah dan berisiko banjir diminta sentiasa berwaspada berikutan keadaan cuaca masih tidak menentu.

"Pastikan barangan berharga disimpan di kawasan selamat selain patuhi arahan anggota penyelamat jika arahan berpindah dikeluarkan," katanya.

Disiarkan pada: July 14, 2020 @ 4:44pm
d